Top 4 sudah cukup baik

LEGENDA hoki negara, Mirnawan Nawawi berharap pasukan hoki kebangsaan mampu mendaki tangga empat teratas daripada tujuh negara bertanding dalam Kejohanan berprestij Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016.

Menurutnya, pasukan hoki negara perlu membuktikan prestasi dan kemampuan mereka dalam kejohanan ini bagi melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di India.

“Kita sedar Hoki Piala Sultan Azlan Shah bukan medan mudah buat Malaysia kerana Australia, New Zealand, India sedang dalam rangka persiapan ke Sukan Olimpik Rio 2016.

“Jika pasukan negara boleh capai empat kelompok terbaik daripada tujuh negara bertanding ia sememangnya pencapaian yang boleh dibanggakan dan sekiranya mampu melonjak lebih daripada itu itu merupakan bonus,” katanya ketika sidang media di Petaling Jaya, semalam.

Mirnawan menjangkakan pasukan hoki kebangsaan mampu memberikan saingan sengit kepada pasukan handalan Australia, New Zealand dan India.

Manakala menurutnya, Malaysia berpotensi menjinakkan Pakistan, Kanada dan Jepun.

“Kita ada kekuatan untuk kalahkan mereka dan saya yakin Malaysia layak berada di kedudukan empat teratas.

“Hasil pemerhatian saya pasukan Malaysia kini semakin bangkit dalam setiap saingan menentang Australia. Kita bukan sekadar bertahan tapi sudah bijak melakukan serangan,” katanya.

Sementara itu, pemain kebangsaan, Nabil Fikri Mohd Noor dan Mohamad Fitri Saari yakin gabungan pemain senior dan pemain baharu dalam kejohanan kali ini akan membuktikan kejayaan buat pasukan hoki kebangsaan.

Malah mereka berjanji akan berusaha merapatkan jurang dengan Australia.

The Speedy Tigers akan cuba bertahan dan menyerang hingga wisel penamat kerana musuh biasanya menyerang pada saat akhir.

Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016 edisi ke-25 bakal bermula pada 6 hingga 16 April di Ipoh menyaksikan pasukan Malaysia, Australia, New Zealand, India, Kanada, Pakistan dan Jepun disiarkan secara langsung melalui saluran Astro Arena jam 4 hingga 10 malam.

– Sinar Harian

Leave a Reply