Elak ulangi penyakit lama: Nabil Fiqri

Pemain tengah berpengalaman negara Nabil Fiqri Mohammad Noor (gambar) berharap dia serta rakan sepasukan tidak mengulangi ‘penyakit’ lama dengan melakukan kesilapan pada minit-minit akhir di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah bermula Selasa depan.

Jelas Nabil, perkara itu juga yang sering diberi penekanan ketua jurulatih Stephen Van Huizen ketika siri jelajah Oceania, baru-baru ini.

“Sebenarnya jurulatih sendiri sudah beri penekanan mengenai masalah ini. Pada 30 atau 50 saat terakhir kami tidak boleh biarkan pihak lawan mengawal bola di kawasan kami.

“Jika tidak, kami pasti akan mula melakukan kesilapan. Jadi jalan terbaik, kami perlu pastikan bermain di kawasan lawan dalam tempoh terakhir itu,” katanya.

Kesilapan saat akhir sering menyaksikan skuad negara meraih keputusan mengecewakan termasuk membabitkan skuad Projek 2016 pada kempen Piala Remaja Asia di Kuantan, Pahang tahun lalu yang menyaksikan Malaysia gagal menempah tiket ke Piala Dunia Remaja.

Perkara sama juga pernah berlaku pada final Piala Sultan Azlan Shah 2013 ketika menentang Australia yang menyaksikan gawang Malaysia bolos lima saat terakhir sebelum tamat perlawanan dan ia masih diingati Nabil sendiri.

Justeru itu, dia berharap skuad negara dapat mempmerkan aksi terbaik meskipun sedar pasukan menyertai kejohanan kali ini antara yang terbaik.

“Untuk saingan kali ini, saya rasa kecuali Australia, kami boleh beri saingan kepada pasukan lain.

“Jika dapat meraih keputusan seri atau menang, ia boleh dianggap bonus,” katanya.

– Harian Metro

Leave a Reply