Peluang buat Hafizuddin, Hairi

Ketiadaan penjaga gol senior, S Kumar di Piala Sultan Azlan Shah pada 6 hingga 16 April ini bakal membuka ruang kepada Hafizuddin Othman (gambar) dan Hairi Abdul Rahman membuktikan kehebatan masing-masing.

Bekas jurulatih kebangsaan, C Paramalingam berkata, ketiadaan Kumar juga menyediakan peluang terbaik bagi skuad hoki negara memberi pendedahan kepada penjaga gol muda di kejohanan berkenaan.

“Sebelum ini kita asyik mengharapkan kepada Kumar, jadi ketiadaannya menjelang kejohanan ini memberi peluang kepada penjaga gol lain,” katanya ketika ditemui Arena Metro di Klinik Kejurulatihan anjuran skuad remaja negara 1990-1993 semalam.

Kumar tidak dapat menyertai skuad kebangsaan kerana masih bergelut dengan masalah kecergasan selepas baru pulih daripada kecederaan pangkal paha ketika beraksi di Siri Jelajah Oceania baru-baru ini.

“Kehadiran beberapa pasukan terbaik dunia sangat penting untuk pemain muda termasuk di posisi penjaga gol mencari pengalaman. Kita sebagai jurulatih pula harus memberi semangat kepada mereka.

“Ini pendedahan, walaupun mereka tumpas sebaiknya berikan kata-kata semangat. Sama seperti Datuk Lee Chong Wei yang tumpas baru-baru ini, tidak semua boleh mencatat kemenangan dengan konsisten,” katanya.

Selain Malaysia, Piala Sultan Azlan Shah kali ini akan disertai pasukan ranking pertama dunia Australia, juara bertahan New Zealand, India, Kanada, Pakistan dan Jepun.

Pencapaian terbaik negara adalah muncul naib juara lima kali pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

– Harian Metro

Leave a Reply