Malaysia buru kemenangan pertama

KETUA jurulatih skuad hoki kebangsaan, Stephen Van Huizen percaya anak-anak buahnya mempunyai sentuhan ajaib untuk memberi cabaran sengit kepada pasukan New Zealand pada perlawanan pembukaan kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016 di Ipoh malam ini.

Meskipun dilanda pelbagai dugaan sebelum kejohanan bermula termasuk tiga pemain utama mengalami masalah kesihatan termasuk kapten, Razie Rahim selain Firhan Ashari dan Shahril Saabah, pengendali berusia 58 tahun itu percaya semua pemainnya bersedia untuk diturunkan.

“Saya akui beberapa pemain ada masalah kesihatan seperti demam dan sebagainya atas faktor cuaca yang tidak menentu, namun saya jangka mereka akan kembali cergas dan tidak mempunyai masalah jika diturunkan pada perlawanan pembukaan esok (malam ini),” katanya pada sidang akhbar di Ipoh semalam.

Mengulas mengenai ancaman New Zealand, Van Huizen mengakui keputusan pada perlawanan persahabatan pada siri Jelajah Oceana bulan lepas tidak boleh dijadikan ukuran kerana ia tidak sama dengan saingan berbentuk kejohanan besar seperti Piala Sultan Azlan Shah.

“Saingan kali ini adalah berbeza berbanding perlawanan persahabatan lepas. New Zealand menduduki ranking lebih baik dan berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada Ogos depan.

“Sehubungan itu, saya pasti pasukan lawan mempunyai strategi tersendiri untuk memenangi perlawanan ini tetapi saya percaya anak-anak buah saya akan memberi tentangan sengit kepada mereka,” ujarnya.

Sebagai rekod, skuad negara yang lebih dikenali dengan jolokan The Speedy Tigers sekadar menang sekali, seri sekali dan tewas dua kali kepada New Zealand yang menduduki tangga No. 8 dunia dalam siri Jelajah Oceana lepas.

Sementara itu, Van Huizen mahu pemain Malaysia melakukan yang terbaik pada saingan edisi ini, sekali gus menebus kekecewaan pada musim lalu yang mana skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing oleh Tan Beng Hai menduduki tangga keenam keseluruhan.

“Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) tidak meletakkan sebarang sasaran pada tahun ini. Namun, kami akan berusaha untuk memperbaiki kedudukan pada tahun lalu.

“Justeru, saya berharap kami dapat mencatat beberapa keputusan positif kali ini kerana saya percaya pasukan ini mempunyai potensi untuk beraksi dengan cemerlang,” ujarnya.

Selain Malaysia dan New Zealand, kejohanan berprestij itu turut disertai pasukan No. 1 dunia, Australia selain Kanada (14), India (8), Pakistan (10) dan Jepun (16).

– KOSMO

Leave a Reply