Malaysia paksa Kiwi kerja keras

Skuad hoki negara seri 3-3 ketika bertemu juara bertahan New Zealand pada perlawanan pertama kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah, sebentar tadi.

Malaysia meraih gol pertama menerusi jaringan padang penyerang negara Firhan Ashari selepas menerima hantaran cantik dari Meor Muhamad Azuan Hasan pada minit ke-15.

Namun kedudukan itu tidak bertahan lama selepas Nick Wilson berjaya mencari ruang di kawasan D untuk menjaringkan gol padang pada minit ke-22 sekali gus menyamakan kedudukan.

Wilson sekali lagi menjaringkan gol kedua menerusi gol padang pada minit ke-34 untuk meletakkan New Zealand di depan 2-1.

Kapten pasukan Muhammad Razie Abd Rahim bagaimanapun menjaringkan gol penyamaan menerusi pukulan sudut penalti dengan menolak masuk bola ke penjuru atas gawang gol lawan pada minit ke-44.

Shahril Saabah meletakkan skuad negara di depan pada minit ke-48 menerusi pukulan sudut penalti tetapi Child Simon berjaya menyamakan kedudukan minit ke-55 juga menerusi pukulan sudut penalti.

– Harian Metro

Leave a Reply