Malaysia sekat hajat New Zealand

MALAYSIA sekadar mampu terikat 3-3 dengan juara bertahan, New Zealand, pada aksi hari pertama Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, malam tadi.

Biarpun turunĀ  tanpa ramai pemain utama, anak-anak buah Stephen Van Huizen dilihat masih mampu memperagakan aksi mantap untuk menyaingi pasukan The Black Sticks itu yang sedang dalam rangka menyediakan pasukan untuk Sukan Olimpik Rio, Ogos depan.

Malah, Malaysia berjaya mengejutkan New Zealand menerusi jaringan seawal minit ke-14 menerusi Firhan Ashari.

Gol berpunca daripada serangan balas pasukan negara sebelum Azuan Hasan yang berjaya meloloskan diri daripada pertahanan lawan membuat lorongan cantik untuk disudahkan Firhan.

Tersentak dengan jaringan itu, New Zealand bingkas bangkit menyusun serangan ke kubu Malaysia dan hasilnya menyaksikan dua jaringan padang daripada Nick Wilson pada minit ke-22 dan 34.

Ketinggalan dua gol nyata tidak melemahkan semangat pemain Malaysia untuk mengasak kubu New Zealand dan menyaksikan dua pukulan sudut penalti berjaya disempurnakan menerusi kapten, Razie Rahim pada minit ke-44 sebelumĀ  Shahril Saabah menjaringkan gol ketiga pada minit ke-48.

New Zealand yang dilihat bangkit hebat pada penghujung perlawanan dalam usaha menyamakan kedudukan setelah menerima enam pukulan sudut penalti berturut-turut, sebelum kapten, Simon Child berjaya menjaringkan gol ketiga.

Minit-minit akhir perlawanan kemudiannya menyaksikan kedua-dua pasukan semakin hebat mengasak bagi menjaringkan gol kemenangan.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dihasilkan hingga ke wisel penamat.

Dalam pada itu, penjaga gol negara, Hafizuddin Othman dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan berdasarkan aksi cemerlangnya pada perlawanan berkenaan.

– Sinar Harian

Leave a Reply