Pakistan kejutkan Kanada

Pakistan membuat permulaan baik pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016 di Stadium Azlan Shah sebentar tadi apabila menundukkan Kanada 3-1.

Kejayaan itu adalah satu kejutan kerana Kanada adalah antara empat pasukan hadir di Ipoh selepas mengesahkan tiket ke Olimpik Rio.

Pada perlawanan pembuka tirai kejohanan edisi ke-25 petang tadi, Pakistan mendahului 2-0 apabila Muhammad Arslan Qadir menemui sasaran dua kali dalam tempoh dua minit pada suku kedua permainan untuk Pakistan mendahului pada separuh pertama.

Jaringan pertama pemain itu adalah hasil gol padang pada minit ke-27 diikuti sentuhan pemusnahnya dari pukulan sudut penalti seminit kemudian.

Kanada bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi Richard Hildreth pada minit ke-48 namun impian untuk anak buah Geoff Mathews kembali dalam permainan dimusnahkan Muhammad Arshad melalui pukulan sudut penalti empat minit kemudian.

Jurulatih Pakistan,Khawaja Muhammad Junaid memuji persembahan anak buahnya yang dianggapnya pasukan paling lemah dalam kejohanan disertai tujuh pasukan itu. Rakan sejawatannya dalam pasukan Kanada, Anthony Parry berkata, penyudah lemah adalah punca kekalahan pasukan itu.

– Berita Harian

Leave a Reply