Speedy Tigers sekat New Zealand

Skuad hoki kebangsaan menunjukkan semangat luar biasa apabila berjaya mengikat pasukan ranking ke-8 dunia yang juga juara bertahan, New Zealand, 3-3 pada aksi pertama Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25 di Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

Pada saingan tersebut, pasukan pelawat terlebih dahulu mengasak kubu pertahanan skuad negara menerusi beberapa siri percubaan namun berjaya dinafikan oleh penjaga gol utama, Hafizuddin Othman.

Hafizuddin bertindak cemerlang khususnya menidakkan dua peluang pukulan sepakan sudut penalti yang diperoleh oleh New Zealand dan kesempatan itu diambil oleh The Speedy Tigers untuk melakukan serangan balas.

Peluang keeemasan yang dicari akhirnya tiba pada minit ke-15 selepas penyerang, Firhan Ashari berjaya menyudahkan hantaran Meor Muhamad Azuan untuk menghadiahkan gol pembukaan buat skuad bimbingan Stephen Van Huizen itu.

Tersentak dengan gol tersebut, New Zealand memperkemaskan serangan dan asakan bertali arus pasukan kiwi itu membuahkan hasil apabila Nick Wilson berjaya mendapatkan gol penyamaan menerusi gerakan solo pada minit ke-22.

Momentum pasukan pelawat semakin menyerlah selepas Wilson sekali lagi menjadi duri dalam daging skuad negara setelah berjaya menambah gol padang kedua peribadi pada minit ke-34.

Bagaimanapun, skuad negara menunjukkan semangat juang yang tinggi apabila kapten pasukan, Razie Rahim berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-44 sebelum Shahril Saabah menghadiahkan gol ketiga negara untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Namun, hasrat Malaysia untuk mencatat kemenangan sulung tersekat selepas kapten pasukan lawan, Simon Child menyamakan kedudukan 3-3 pada minit ke-55 menjadikan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

“Saya gembira dengan keputusan ini kerana saya anggap satu mata lebih baik berbanding tewas. Namun, saya sedikit terkilan kerana tidak kami gagal mempertahankan kelebihan yang kami miliki.

“Dalam perkembangan sama, saya memuji persembahan penjaga gol, Hafizuddin dan dia berhak mendapat anugerah pemain terbaik perlawanan malam ini,” kata Van Huizen sejurus tamat perlawanan sebentar tadi.

– Kosmo

Leave a Reply