Tiga tonggak tak sihat

Skuad hoki negara berdepan ujian awal menjelang perlawanan pembuka tirai bertemu juara bertahan New Zealand pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah hari ini apabila tiga pemain utamanya kurang sihat.

Ketiga-tiga pemain itu ialah kapten Razie Rahim (gambar), penyerang Firhan Ashari serta pakar pukulan sudut penalti Shahril Saabah.

Ketua jurulatih skuad negara Stephen Van Huizen bagaimanapun tetap yakin dan berharap ketiga-tiga pemain itu cergas sepenuhnya menjelang perlawanan hari ini.

“Secara asasnya memang kami semua sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan ini.

“Tapi ada tiga pemain yang demam ketika ini. Saya harap kesemua pemain cergas sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan esok (hari ini),” katanya.

Mengulas lanjut peluang skuad negara bertemu New Zealand hari ini selepas bertemu lawan sama pada siri perlawanan Jelajah Oceania baru-baru ini, Stephen berkata saingan kali ini cukup berbeza.

“New Zealand pasti akan mempamerkan taktikal permainan berbeza kerana perlawanan persahabatan tidak sama dengan aksi sebenar.

“Kami menjangkakan perlawanan yang cukup sukar. Tapi saya pasti mereka akan memberikan permainan berkualiti yang memberi manafaat kepada kita,” katanya.

 

– Harian Metro

Leave a Reply