Van Huizen: Malaysia akan beri aksi terbaik

BIARPUN bakal menerima tentangan sengit, Malaysia akan cuba memberikan aksi terbaik pada aksi pembukaan berdepan New Zealand pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah Ke-25, malam ini.

Ketua jurulatih skuad negara Stephen Van Huizen berkata, perlawanan berdepan juara edisi ke-24  itu juga bakal menjadi ujian sebenar buat skuad negara setelah mengharungi beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini.

Malah menurut Van Huizen, aksi berdepan skuad The Black Sticks itu pastinya sukar kerana bakal mempamerkan corak taktikal yang berlainan daripada pihak lawan.

“Memang kalau main dengan New Zealand, taktikal dia lain.  Dulu test match, kali ini match situation.

“Lagi pun New Zealand berada pada ranking di atas kita, jadi kita akan cuba yang terbaik,” katanya pada sidang media, semalam.

Tambah Van Huizen, pihaknya tidak meletakkan sebarang sasaran sempena kejohanan kali ini dan mengharapkan semua pemain dapat beraksi dengan sebaik-baiknya.

Malah katanya, penyertaan empat pasukan yang telah layak ke Sukan Olimpik seperti New Zealand, Australia, Kanada dan India bakal menjanjikan saingan yang sengit kali ini.

“Saya tak jangka pun semua empat pasukan yang layak ke Sukan Olimpik akan turut bertanding pada kejohanan ini.

“Bagaimanapun kita berharap untuk mendapat keputusan yang baik pada kejohanan ini (Piala Sultan Azlan Shah). Malah kita mungkin boleh belajar,” katanya.

Sementara itu pengurus skuad New Zealand  Dean Couzins berkata, perlawanan berdepan Malaysia pastinya menarik kerana ia akan turut disertai dengan sorakan penyokong tuan rumah.

Justeru katanya, pihaknya juga akan cuba memberikan persembahan terbaik pada perlawanan berkenaan.

“Pasti sesuatu menarik apabila menentang Malaysia. Suasananya begitu meriah dengan sorakan penyokong dan bunyi-bunyian drum dan sebagainya. Apatah lagi di sini (Ipoh).

“Kita juga akan manfaatkan kesempatan ini untuk menyediakan pasukan menjelang temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro Ogos nanti,” katanya lagi.

– Sinar Harian

Leave a Reply