Van Huizen tuntut aksi cemerlang

Pemain hoki negara dituntut memberi aksi cemerlang khususnya menentang pasukan yang akan menyertai Sukan Olimpik seperti New Zealand dan Australia di kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang bermula esok.
Ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen, berkata tiada alasan untuk pemainnya gagal menampilkan aksi yang diharapkan di laman sendiri, apa lagi kejohanan itu adalah pentas terbaik bagi pemain muda menimba pengalaman menentang pasukan handalan.
“Saya mahu pemain memberikan aksi terbaik menentang lawan yang layak ke Sukan Olimpik walaupun Malaysia gagal ke Rio de Janeiro,” katanya.
Malaysia akan membuka kempen kejohanan kali ini menentang juara bertahan, New Zealand di Stadium Sultan Azlan Shah di sini esok. Stephen mengakui New Zealand menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan itu bersandarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan dalam kejohanan atau perlawanan persahabatan.
“Setakat ini, saya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana menjangkakan New Zealand memberikan saingan yang sukar tetapi saya harap skuad negara mampu menyerlah dengan strategi tersendiri,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.
Bagi pengurus pasukan New Zealand, Dean Couzins, beliau mengakui pasukannya akan turut berdepan sokongan padu daripada penyokong tuan rumah.
“Paluan gendang dan sorakan daripada penonton pasti akan memberi semangat tambahan kepada Malaysia dan saya harap pemain saya mampu cepat menyesuaikan diri dengan situasi itu,” katanya.

Sebanyak tujuh pasukan menyertai kejohanan tahun ini iaitu Australia, New Zealand, India, Kanada, Pakistan, Jepun dan Malaysia. Untuk rekod, New Zealand muncul juara tahun lalu dengan menewaskan Australia 3-1 pada penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga tamat waktu permainan sebenar. Jadual perlawanan esok

– Berita Harian

Leave a Reply