You are here
Home > Media News > Malaysia raih kemenangan pertama

Malaysia raih kemenangan pertama

Skuad hoki negara menepati ramalan apabila menumpaskan pasukan di ranking ke-16 dunia Jepun dalam perlawanan kedua kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016 biarpun sekadar mencatat keputusan tipis 4-3 di Stadium Azlan Shah, di sini semalam.

Kemenangan pertama itu membolehkan skuad The Speedy Tigers yang ketika ini menghuni kedudukan ke-13 dunia kekal dengan rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan yang telah berlangsung selepas seri 3-3 dengan New Zealand kelmarin.

Malah keputusan perlawanan itu juga membenarkan skuad bimbingan Stephen Van Huizen berada di kedudukan teratas liga dalam saingan yang menggunakan format liga satu pusingan menerusi jumlah empat mata.

Dalam perlawanan semalam, Malaysia mendapatkan gol pertama seawal minit kedua hasil jaringan ketua pasukan Muhammad Razie Abd. Rahim yang bijak memanfaatkan pukulan sudut penalti sebelum Jepun menyamakan kedudukan seminit selepas itu melalui Hiroki Sakamoto.

Gol penyamaan Jepun itu seperti memaksa anak-anak buah Van Huizen segera bangkit dan mereka berjaya menambah dua lagi gol hasil pukulan sudut penalti Muhammad Razie pada minit ke-11 dan Muhammad Haziq Shamsul tiga minit kemudian.

Pasukan tuan rumah terus menambah derita Jepun apabila dihadiahkan pukulan penalti stroke pada minit ke-32 yang dimanfaatkan dengan baik oleh Fitri Saari untuk mendapatkan gol keempat.

Jepun yang tidak putus asa merapatkan defisit gol menerusi Shota Yamada pada minit ke-54 dan ke-58 melalui pukulan sudut penalti namun usaha mereka untuk mencari gol penyamaan tidak kesampaian.

“Ini adalah keputusan yang baik untuk pasukan terutama apabila berupaya meraih mata dalam dua perlawanan awal.

“Saya puas hati dengan keputusan ini namun masih ada beberapa aspek yang perlu diteliti dan diperbaiki,” kata Van Huizen selepas perlawanan.

– Utusan Malaysia

Leave a Reply

Top