Malaysia raih tiga mata berharga

SKUAD hoki negara menepati ramalan apabila meraih tiga mata berharga selepas menang tipis ke atas Jepun 4-3 pada aksi kedua kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016 di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan pasukan yang dikenali dengan jolokan The Speedy Tigers itu mengutip empat mata dalam dua perlawanan, sekali gus menghuni tangga teratas liga ketika ini.

Pada perlawanan itu, skuad bimbingan Stephen Van Huizen tidak menunggu lama untuk memecah benteng pasukan matahari terbit itu Razie Rahim menyumbat gol pertama menerusi pukulan sudut penalti pada minit kedua.

Saingan bertambah rancak apabila Jepun mendapat gol penyamaan seminit selepas itu menerusi ketua pasukannya, Hiroki Sakamoto juga menerusi pukulan sudut penalti.

Namun, momentum jepun segera dimatikan menerusi jaringan pantas Razie yang juga kapten skuad negara pada minit ke-11 dan Haziq Samsul berselang tiga minit kemudian.

Bersambung pada suku ketiga, skuad negara yang menduduki ranking ke-13 dunia mudah melebarkan sayap menerusi pukulan penalti yang berjaya disempurnakan oleh Fitri Saari.

Jepun cuba bangkit pada minit-minit akhir selepas Shota Yamada mencetak dua gol buat pasukan pelawat untuk merapatkan kedudukan, namun keputusan 4-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Skuad negara akan berdepan tugas getir apabila dijadualkan bertemu pasukan No. 1 dunia, Australia esok.

– KOSMO

Leave a Reply