Malaysia tewaskan Jepun

Tuan rumah, Malaysia mencatat kemenangan pertama dalam jubli Perak Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016 apabila mengatasi Jepun 4-3 di Stadium Azlan Shah, di sini.
Dengan kejayaan itu skuad negara melonjak ke tangga teratas kejohanan tujuh pasukan itu selepas seri perlawanan pertama dengan New Zealand.
Begitupun anak buah Stephen Van Huizan mencetus cemas dlam kalangan 5,000 penyokong apabila membenarkan lawan menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit terakhir walaupun mendahului 4-1 pada satu ketika.
Malaysia yang memang dijangka mampu melepasi halangan pasukan ‘Matahari Terbit” itu hanya mengambil masa dua minit untuk merobek gawang lawan.
Kapten, Razie Rahim tidak mensia-siakan pukulan sudut penalti pertama negara apabila menguis masuk pada minit ke-2. Begitupun kedudukan itu hanya bertahan selama seminit apabila Jepun menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti ketua pasukannya, Hiroki Sakamoto.
Namun selepas itu menyaksikan anak buah Stephen Van Huizen kembali menguasai permainan dan usaha mereka berjaya apabila Razie menemui sasaran sekali lagi pada m-11. Tiga minit kemudian Haziq Samsul memastikan tuan rumah mendahului 3-1 pada babak pertama apabila menyudahkan bola yang melantun daripada tampanan penjaga gol lawan, Takashi Yoshikawa.
Malaysia meneruskan asakan pada suku ketiga tetapi beberapa peluang dicipta gagal diterjemahkan menjadi gol. Namun dua minit saingan berlangsung tuan rumah dihadiahkan pukulan penalti strok apabila pemain Jepun melakukan kesalahan dalam kawasan petak D Fitri Saari menguis masuk.
Begitupun Jepun bangkit untuk merapatkan jurang melalui dua jaringan Shota Yamada pada minit ke-54 dan ke-60.

– Berita Harian

Leave a Reply