Hafizuddin ada misi tersendiri

Penjaga gol skuad negara Muhammad Hafizuddin Othman boleh menjangkakan dia akan dipaksa bekerja keras hari ini apabila skuad Stephen Van Huizen bertemu Australia dalam perlawanan ketiga masing-masing dalam kempen kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016, tetapi fokus utamanya adalah menghalang pukulan pe­nalti sudut skuad Kanggaru itu.

Dalam perlawanan esok (hari ini) saya akan membuat kajian lebih mendalam menerusi rakaman vi­deo permainan mereka.

“Awasi pukulan penalti sudut mereka. Yang penting bagi saya adalah bagaimana mereka melakukan pukulan sudut penalti. Saya juga berharap rakan-rakan mengawasi pergerakan barisan penyerang Australia,” katanya yang mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan pertama menentang juara bertahan New Zealand.

Dalam perlawanan menentang skuad The Black Sticks pada Rabu lalu, Muhammad Hafizuddin berjaya menyelamatkan kebanyakan percubaan lawan untuk dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan yang berkesudahan seri 3-3.

Sementara itu, ketua pasukan Muhammad Razie Abd. Rahim tidak mahu rakan sepasukannya mengulangi kesilapan mudah ketika menentang Jepun kelmarin sehingga dibolosi tiga gol walaupun mereka menang 4-3.

Katanya, Australia adalah sebuah pasukan yang cukup berpengalaman dan kecuaian mudah hanya akan memberi masalah kepada skuad negara.

“Jelas sekali dalam perlawanan dengan Jepun semalam (kelmarin), kami agak tertekan pada hujung perlawanan, mungkin disebabkan pemain tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu.

“Saya sudah cuba untuk memberikan arahan kepada mereka, tetapi mungkin suasana bising di dalam stadium menyebabkan mesej itu tidak sampai kepada semua pemain,” katanya.

Skuad negara mendahului Jepun 4-1 selepas berakhir suku ketiga, namun Jepun mencemaskan pasukan tuan rumah apabila memperoleh dua gol pada penghujung perlawanan selain bernasib baik kebangkitan lawan itu sudah terlewat.

– Utusan Malaysia

Leave a Reply