Kami tak ada perasaan takut

KAPTEN skuad hoki negara, Muhd. Razie Rahim tidak mahu rakan sepasukannya mengulangi aksi longlai pada minit-minit terakhir ketika bertemu Jepun menjelang perlawanan getir menentang juara dunia, Australia pada kempen Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh malam ini.

Menurutnya, sesuai dengan status pasukan No. 1 dunia, Australia adalah sebuah pasukan yang cukup berpengalaman dan kelalaian dalam kalangan pemain negara sudah pasti akan mengundang padah.

“Memang Australia merupakan pasukan No. 1 dunia tetapi bagi saya, kami sudah bersedia untuk berdepan dengan mereka. Apa yang penting ketika ini ialah setiap pemain perlu mengurangkan kesilapan mudah.

“Jelas sekali pada perlawanan dengan Jepun semalam (kelmarin), kami agak tertekan pada hujung perlawanan dan ia mungkin disebabkan pemain tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu.

“Saya sudah cuba untuk memberikan arahan kepada mereka, tetapi mungkin suasana bising di dalam stadium menyebabkan mesej saya itu tidak sampai kepada semua pemain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Razie optimis Malaysia mampu mencipta kejutan meskipun skuad negara tewas pada ketiga-tiga perlawanan persahabatan pada siri Jelajah Oceania baru-baru ini, namun apa sahaja boleh terjadi pada perlawanan kompetitif seperti ini.

Sementara itu, penjaga gol utama skuad kebangsaan, Muhd. Hafizuddin Othman akan membuat analisis terhadap corak permainan pasukan lawan khususnya barisan penyerang bagi memudahkannya membaca pergerakan mereka.

Pada aksi pertama skuad bimbingan Graham Reid itu, mereka berjaya memalukan India yang menduduki ranking kelapan dunia apabila mudah menewaskan lawan mereka itu 5-1.

“Saya akan lihat rakaman video bagaimana taktikal mereka menjaringkan gol lebih-lebih lagi ketika pasukan lawan mengambil pukulan sudut penalti. Jus­teru, saya berharap dapat membantu pasukan untuk mengutip mata berharga pada perlawanan itu nanti,” jelasnya.

– Kosmo

Leave a Reply