Australia jinakkan Malaysia

KUAD hoki kebangsaan terpaksa akur dengan kekuatan pasukan No. 1 dunia, Australia apabila tewas 1-5 pada aksi ketiga kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

Kekalahan tersebut menjadikan skuad bimbingan Stephen Van Huizen sebagai mangsa terbaharu juara dunia itu selepas menewaskan India 5-1 pada aksi pertama Khamis lalu dalam persediaan ke Sukan Olimpik Brazil Ogos depan.

Pada perlawanan tersebut, pasukan gergasi yang lebih dikenali sebagai Kookaburras itu memberi asakan awal ke kubu skuad negara, namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Hairi Abd. Rahman.

Namun, The Speedy Tigers mencipta kejutan apabila berjaya mendapatkan gol pembukaan menerusi kapten, Razie Rahim pada minit kesembilan sebelum Jacob Whetton mengha­diahkan gol penyamaan buat pasukan lawan berselang dua minit kemudian.

Australia mula menunjukkan dominasi mereka pada suku ketiga selepas mudah mencetak tiga gol dalam tempoh dua minit menerusi Flynn Ogilvie (dua gol) dan Matt Gohdes.

Skuad negara cuba menunjukkan kebangkitan pada suku terakhir, namun Australia berjaya menjaringkan gol kelima mereka menerusi jaringan Thomas Craig pada minit ke-55 dan kedudukan 5-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Australia yang kini gah menduduki takhta liga dengan enam mata bakal bertemu Pakistan hari ini, manakala Malaysia dijangka membuat perhitungan dengan Kanada Selasa depan

– Kosmo

 

Leave a Reply