Kami dah cuba sedaya upaya

Australia nyata terlalu hebat buat pasukan kebangsaan apabila membelasah mereka, 5-1 dalam saingan hoki jubli perak Piala Sultan Azlan di Stadium Azlan Shah, di sini, malam ini.

Jelas semangat juang kental semata-mata tidak mencukupi buat anak buah Stephen Van Huizen bagi melakukan sebarang kejutan ke atas pasukan juara dunia itu.

Kemenangan itu adalah kedua buat Australia yang kini mendahului kejohanan edisi 25 itu.

Selepas bermain cemerlang selama 39 minit untuk mengikat Australia, pasukan kebangsaan tiba-tiba bagaikan hilang fokusĀ  hingga bolos tiga gol dalam tempoh satu minit pada minit ke-40 untuk menyerah perlawanan kepada skuad Kookaburras itu.

“Pemain sudah mencuba sedaya upaya dan bermain dengan penuh disiplin sehingga berlaku `malapetaka’ yang menyaksikan lawan menjaringkan tiga gol pantas.

“Saya tidak boleh salahkan sesiapa. Cara Australia melakukan tekanan terhadap pasukan negara saya sudah jangka. Kami menerima padah hari ini,” kata Van Huizen selepas perlawanan.

Pada perlawanan itu pemain Malaysia bermain cemerlang untuk menyerap segala asakan juara dunia itu.

Malah kapten Mohd Razie Rahim berjaya meletakkan Malaysia di hadapan apabila menjaring melalui pukulan sudut penalti pertama negara pada minit ke-24.

Tersentak, Australia bangkit dan berjaya memadam kelebihan itu dua minit kemudian melalui Thomas Graig.

Penjaga gol, Hafizuddin Othman ternyata pemain paling sibuk mengawal benteng terakhir pasukan negara termasuk menghalang enam pukulan sudut penalti lawan.

Bagaimanapun pemain itu tidak terdaya menyekat pemain lawan menjaringkan gol padang terutama apabila lawan bijak merobek benteng Malaysia melalui serangan berkesan untuk menjaringkan gol melalui Flynn Ogilvie, Matt Gohdes, Mathew Swann dan Thomas pada suku ketiga. – Berita Harian

 

Leave a Reply