Kanada mudah benam Jepun

Kanada mencatat kejayaan pertama dalam saingan jubli perak Piala  Sultan Azlan Shah apabila menumpas Jepun 3-1 di Stadium Azlan Shah, di sini, hari ini.

Segar dari rehat sehari semalam, anak buah Anthony Farry menguasai persaingan sejak wisel permulaan, namun kelihatan menghadapi kesukaran menembusi kubu lawannya itu.

Malah barisan muda Jepun juga mempunyai idea sendiri bagi mengekang lawan mereka itu hingga menyaksikan kedudukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama.

Kanada memperhebat serangan sebaik babak kedua bermula dan berjaya memperoleh dua gol dalam tempoh seminit.

Mark Pearson membuka jaringan pada minit ke-34 melalui jaringan padang.

Belum sempat pemain Jepun pulih daripada kejutan itu Gabriel Ho-Garcia meledak gol kedua seminit kemudian.

Jepun merapatkan jurang melalui ketua pasukan dan pakar pukulan sudut penaltinya, Hiroki Sakamoto pada m-42 tetapi tiga minit kemudian Scott Tupper menamatkan sisa-sisa perjuangan matahari terbit itu dengan gol ketiga Kanada.

– Berita Harian

Leave a Reply