Malaysia Gagal Pertahan Tangga Teratas, Tewas 1-5 Kepada Australia

Malaysia gagal mempertahankan kedudukan selaku pendahulu carta Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-25 selepas tewas 1-5 kepada Australia dalam perlawanan malam ini.

Bagaimanapun pujian harus diberi kepada seluruh pasukan Malaysia kerana mempamer semangat juang tinggi dari awal hingga tamat permainan ketika menentang pasukan nombor satu dunia itu.

Serangan bertali arus Australia dari awal babak pertama tidak mematahkan semangat pasukan negara hingga berjaya menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-24 menerusi ketua pasukan Razie Rahim.

Tersentak dengan jaringan itu, Australia yang terkenal dengan jolokan ‘Kookaburras’ menggandakan usaha dan seterusnya berjaya menyamakan kedudukan selang dua minit kemudian melalui Jacob Whetton.

Masuk separuh masa kedua, kehebatan pasukan nombor satu dunia itu ternyata sukar digugat oleh ‘The Speedy Tigers’ walaupun mendapat sokongan padu daripada kira-kira 10,000 penyokong.

Memasuki minit ke-40, Malaysia seakan hilang fokus apabila pintu gol berjaya dibolosi oleh Flynn Ogilvie dan Matt Gohdes, sebelum Ogilvie menambah satu lagi gol selang seminit kemudian.

Thomas Graig meleburkan impian Malaysia untuk mendapat sebarang mata apabila menyumbat gol kelima buat Australia pada minit ke-55.

Pasukan negara kembali bangkit mengasak pelawat melalui pelbagai cubaan, namun skuad kendalian Graham Reid itu berjaya menyekatnya sehingga tamat perlawanan seterusnya memintas kedudukan Malaysia.

Sementara itu, Ketua Jurulatih negara Stephen Van Huizen secara ringkas memberitahu media beliau berpuas hati dengan semangat juang anak buahnya.

Terdahulu, dalam perlawanan petang tadi, Kanada menewaskan Jepun 3-1, manakala New Zealand bangkit menumpaskan Pakistan dengan 5-3.

Selepas mengharungi tiga perlawanan, Malaysia kini di kedudukan keempat dengan empat mata, dua mata di belakang pendahulu, Australia. Tempat kedua New Zealand, manakala Kanada ketiga.

– Bernama

Leave a Reply