Australia, NZ terus melangkah

Juara dunia, Australia seperti dijangka mudah melepasi halangan ketiga apabila menumbangkan Pakistan 4-0 dalam jubli perak hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini, sebentar tadi.

Seperti ketika bertemu Malaysia malam kelmarin, anak buah Graham Reid memusnahkan lawan pada suku ketiga perlawanan dengan dua gol selepas mendahului 1-0 pada babak pertama.

Walaupun Pakistan cuba memberi saingan tetapi mereka tidak terdaya untuk menyekat pasukan Wallabies itu. Kubu Pakistan hanya berjaya bertahan selama 23 minit sebelum dirobek lawan melalui Blake Govers pada m-24 untuk Australia mendahului pada separuh pertama.

Kealpaan benteng Pakistan pada penghujung suku ketiga dihukum oleh Thomas Graig dan Jamie Dwyer selang seminit pada minit 41 dan 42.

Aran Zalewski melengkapkan kemenangan Australia yang kini gah di persada liga tujuh pasukan itu dengan mengutip sembilan mata hasil tiga kemenangan.

Terdahulu, juara bertahan, New Zealand meneruskan rentak apabila mencapai kemenangan kedua dengan menumpaskan Jepun 4-1. Kemenangan itu mencerahkan kembali peluang pasukan Kiwi bersaing dalam perebutan ke perlawanan akhir.

Pada perlawanan petang ini, New Zealand yang memang dijangka tidak menghadapi masalah melepasi Jepun mendahului 2-0 selepas 13 minit perlawanan berlangsung melalui jaringan Nick Wilson dan Simon Child.

Jepun bagaimanapun merapatkan jurang apabila Kazuma Murata menemui sasaran pada m-20. Nic Woods melebarkan kedudukan tujuh minit kemudian untuk melegakan New Zealand pada babak pertama. Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan memperlahankan rentak akibat cuaca panas terik.

Apapun New Zealand berjaya melengkapkan kemenangan melalui jaringan Hugo Inglis dua minit sebelum tamat.

Berita Harian

Leave a Reply