Australia selamba benam Pakistan

Australia mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menewaskan Pakistan 4-0 semalam pada perlawanan ketiga Piala Sultan Azlan Shah sekali gus terus berada di landasan tepat untuk menempah tiket ke final.

Bagi penyerang veteran mereka Jamie Dwyer, kemenangan ke atas Pakistan semalam adalah persembahan terbaik mereka berbanding ketika bertemu India dan Malaysia.

 “Dua perlawanan sebelum ini kami gagal memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol tapi hari ini, corak permainan kami lebih meyakinkan.

“Pujian juga harus diberikan kepada Pakistan hingga menyukarkan kami untuk menjaringkan gol pada awal permainan. Secara keseluruhan, inilah persembahan terbaik kami setakat ini,” katanya.

Pakistan mempamer aksi meyakinkan apabila bertahan dengan baik pada suku pertama hingga menyebabkan Austalia buntu untuk mencari gol pembukaan.

Namun Australia di bawah bimbingan Graham Reid akhirnya memperoleh gol pertama selepas Blake Govers menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-24.

Thomas Craig menjadikan kedudukan 2-0 menerusi gol padang pada minit ke-41 sebelum Dwyer yang juga pemain paling berpengalaman dalam skuad Australia, menambah gol ketiga seminit selepas itu.

Aran Zalewski terus menyukarkan Pakistan dengan menyumbang gol keempat pada minit ke-52 menerusi gol padang.

 

Harian Metro

Leave a Reply