Malaysia perlu atasi Kanada

PENGENDALI skuad hoki negara, Stephen Van Huizen mahu anak-anak buahnya memburu tiga mata penting menjelang aksi menentang Kanada esok yang dianggap bakal menjadi penentu buat skuad yang mendapat jolokan The Speedy Tigers itu pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016 kali ini.

Menurut Van Huizen, meskipun Malaysia menduduki ranking yang lebih baik iaitu di tempat ke-13 berbanding Kanada (ke-14), namun itu bukan alasan untuk memandang mudah keupayaan lawan.

“Kanada kini telah mempamerkan peningkatan positif selain saya percaya pasukan lawan bakal memberikan saingan lebih sukar kepada Malaysia pada pertemuan Selasa ini (esok),” kata Van Huizen ketika ditemui selepas skuad negara tewas 1-5 kepada Australia kelmarin.

Sebagai rekod, Kanada merupakan antara empat pasukan yang menjadikan Piala Sultan Azlan Shah sebagai persediaan untuk menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, Ogos depan.

“Saya lihat mereka mengharungi perlawanan dengan baik ketika menentang Jepun dan saya percaya ini adalah perlawanan yang penting untuk menentukan hala tuju pasukan pada kejohanan ini.

“Saya akui ia akan menjadi tugas sukar untuk mengutip tiga mata penuh tetapi satu mata sudah memadai, namun saya harap para pemain mampu menunjukkan kekuatan ma­sing-masing,” kata beliau.

Sementara itu, Van Huizen mendedahkan, kesilapan mudah yang dilakukan pasukannya ketika menentang Australia di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak kelmarin menjadi salah satu faktor skuad kebangsaan sukar mengekang asakan pasukan No. 1 dunia tersebut.

Meskipun mencatatkan kekalahan besar kepada Australia, namun Van Huizen tetap memuji aksi yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya termasuk prestasi penjaga gol kedua, Mohammad Hairi Abdul Rahman.

“Seperti yang saya katakan sebelum kejohanan bermula, kami mahu menggunakan semua pemain termasuk penjaga gol dan saya percaya Hairi yang menggantikan Muhammad Hafizuddin Othman (penjaga gol utama) telah beraksi dengan cukup cemerlang.

“Kami telah berusaha mengekalkan tempo sepanjang tempoh perlawanan menentang Australia, namun tidak berjaya apabila kelalaian pemain khususnya pada suku ketiga menghukum pasukan,” kata Van Huizen

KOSMO

Leave a Reply