Skuad masa depan

SELEPAS tiga perlawanan skuad negara dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah, ada sesuatu yang boleh dibanggakan peminat setia hoki negara.

Bermula dengan keupayaan mengikat juara tahun lalu, New Zealand 3-3, menewaskan Jepun 4-3 dan menampilkan aksi melawan sebelum tumpas 1-5 kepada juara dunia, Australia membuktikan skuad yang dalam pembikinan ini mampu pergi jauh jika digarap sempurna.

Malah, sasaran yang ditetapkan Persekutuan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) iaitu menjadi empat pasukan terbaik juga mampu dicapai sekiranya The Speedy Tigers terus menunjukkan aksi bersemangat dalam tiga perlawanan terakhir menentang Kanada, Pakistan dan India.

Selain itu, keupayaan skuad negara mengejutkan New Zealand dan Australia melalui gol awal dalam kejohanan kali ini juga menunjukkan bahagian serangan mampu beraksi baik dan menggerunkan pihak lawan.

Cuma sedikit penambah baikkan perlu dilakukan di bahagian pertahanan bagi memastikan gol yang berjaya diperoleh dapat dipertahankan sehingga wisel penamat dibunyikan.

Pandangan sama dikongsi legenda hoki kebangsaan, Mirnawan Nawawi yang menyatakan persembahan skuad hoki negara berada pada tahap memuaskan dalam kejohanan kali ini.

“Pertembungan menentang Kanada (hari ini) peluang terbaik untuk Malaysia mengutip tiga mata bagi mencerahkan peluang mereka layak ke peringkat akhir atau berada di kedudukan tiga atau empat.

“Tempoh rehat wajar dimanfaatkan dengan melakukan analisis bahagian yang perlu diperkemas bagi mengurangkan kesilapan secara berpasukan dalam setiap perlawanan,” katanya. Kata Mirnawan lagi, apa yang perlu dilakukan skuad negara kini adalah menggunakan pentas Piala Sultan Azlan Shah mencari kemantapandan membina pasukan mantap untuk menghadapi Piala Dunia 2018 dan Sukan Olimpik 2020.

Skuad negara juga optimis mampu melakar kemenangan ketika menentang Kanada dalam aksi keempat Piala Sultan Azlan Shah hari ini.

Kapten skuad negara, Razie Rahim bagaimanapun tidak mahu rakan sepasukan terlalu yakin sebaliknya bermain dengan baik sepanjang perlawanan.

“Untuk lawan Kanada, kami tidak mahu terlalu yakin. Saya pasti perlawanan akan jadi seimbang memandangkan Kanada bukan calangcalang pasukan. Kami hanya mahu buat yang terbaik dan saya yakin pasukan mana yang mampu mempamerkan aksi cemerlang, pasukan itu akan menang,” katanya.

Menurutnya, pasukan juga sudah menilai dan mencari kesilapan yang dilakukan dalam setiap perlawanan sebelum ini.

“Saya juga dah minta rakan sepasukan untuk fokus kembali sesudah kekalahan kepada Australia tempoh hari. Kami dah tengok kesilapan sehingga lawan mampu menjaringkan gol. Sedikit sebanyak kami sudah membaikinya dalam sesi latihan. Kami juga sudah ada perancangan apa yang perlu buat untuk perlawanan menentang Kanada,” katanya.

Jelas Razie lagi, pasukan negara juga tidak akan mengamalkan taktik bertahan sebaliknya menerapkan konsep menyerang bagi memburu gol dan tiga mata penting.

Leave a Reply