Firhan harap tuah berpanjangan

Baru menjaringkan satu saja gol selepas tiga perlawanan, penyerang negara Firhan Ashari berharap pertemuan dengan Kanada hari ini akan membawa lebih banyak tuah kepadanya untuk meledak gol.

Firhan yang kini menjadi antara tonggak skuad senior negara berkata, usaha untuk meraih tiga mata bertemu Kanada bukan sesuatu yang mustahil selepas mengambil kira pencapaian memberangsangkan skuad negara selepas tiga perlawanan.

“Walaupun baru jaringkan satu gol, tapi secara keseluruhan saya puas hati dengan persembahan pasukan.

“Cuma mungkin perlu mencari keserasian lagi antara kami kerana ada beberapa muka baru yang menyertai pasukan ketika ini.

“Bagi saya peluang untuk menewaskan Kanada tetap ada. Saya cukup yakin dengan pemain yang kami ada ketika ini, terutamanya pemain muda.

“Sekiranya semua pemain mempamerkan komitmen tinggi, saya percaya kami mampu meraih tiga mata,” katanya.

Firhan juga tidak merasai kehilangan rakan seperjuangannya yang juga penyerang sensasi negara Faizal Saari yang tidak menyertai pasukan kerana sedang memenuhi hukuman penggantungan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

“Bagi saya bermain dengan mana-mana pemain di bahagian serangan bukan satu masalah besar. Yang penting saya perlu berikan komitmen tinggi untuk membantu pasukan,” katanya.

– Harian Metro

Leave a Reply