Kanada ikat Malaysia

IMPIAN skuad hoki negara untuk me–ngutip tiga mata penuh tidak kesampaian selepas diikat oleh pasukan ranking ke-14 dunia, Kanada 2-2 pada kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016 di Stadium Azlan Shah, Ipoh malam tadi.

Pada perlawanan tersebut, The Speedy Tigers terlebih dahulu mengasak pasukan lawan dan berjaya memperoleh dua pukulan sudut penalti tetapi kedua-dua pukulan itu berjaya diselamatkan.

Bagaimanapun, Kanada lebih bernasib baik selepas kapten pasukannya, Scott Tupper berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-21.

Enggan mengalah terlalu awal, skuad bimbingan Stephen Van Huizen kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang, Muhamad Shahril Saabah berselang tujuh minit kemudian.

Saingan bertambah rancak pada suku ketiga apabila skuad negara berjaya mendahului perlawanan buat pertama kali pada minit ke-31 hasil gol padang daripada Nabil Fiqri Mohd. Noor.

Namun, kelebihan yang dimiliki oleh pasukan kebangsaan tidak bertahan lama selepas Matthew Guest menyamakan kedudukan menerusi gol padang pada minit ke-45, sekali gus menjadikan kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Skuad negara yang menghuni tangga kelima dengan lima mata mempunyai baki dua perlawanan iaitu menentang Pakistan malam ini dan India (Jumaat).

– KOSMO

Leave a Reply