Malaysia perlu kerja keras berdepan Kanada

PASUKAN Malaysia tidak boleh mengambil mudah apabila turun menentang Kanada pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini, esok.

Ketua pasukan, Razie Rahim berkata, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang untuk mengutip tiga mata penuh jika mempamerkan aksi cemerlang.

“Kanada berada di ranking ke-14 dunia, Malaysia pula di ranking ke-13 tetapi untuk aksi malam esok, pasukan yang bermain dengan baik akan menang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengenai strategi yang akan digunakan ‘The Speedy Tigers’ berdepan Kanada, Razie berkata ketua jurulatih Stephen Van Huizen sudah tentu mempunyai perancangannya sendiri.

Selepas mengharungi empat perlawanan, Kanada kini di tangga keempat carta dengan kutipan empat mata, sama seperti Malaysia yang berada di kedudukan     kelima, namun dipisahkan berdasarkan perbezaan gol.

Perlawanan antara Malaysia menentang Kanada akan berlangsung di Stadium Sultan Azlan Shah pada 8.35 malam.

Turut menjadi tumpuan esok, pastinya pertemuan antara pasukan nombor satu dunia, Australia dengan juara bertahan, New Zealand yang dijadual pada 4.05 petang, selain aksi Pakistan menentang India pada 6.05 petang.

– Bernama

Leave a Reply