You are here
Home > Media News > Pilih laluan berduri

Pilih laluan berduri

Kanada menyekat hasrat skuad negara untuk mendapatkan tiga mata penuh dalam aksi Piala Sultan Azlan Shah apabila mengikat The Speedy Tigers 2-2 di Stadium Azlan Shah, hari ini.

Keputusan tersebut membuatkan skuad kebangsaan perlu bekerja lebih keras lagi untuk memburu kelompok empat terbaik dalam baki dua perlawanan menentang Pakistan dan India.

Kini Malaysia berada di tangga kelima dengan lima mata selepas empat perlawanan, ketinggalan tujuh mata daripada pendahulu Australia.

Jurulatih kebangsaan, Stephan Van Huizen berkata, anak-anak buahnya bekerja keras untuk me­ngutip mata penuh, malangnya gol penyamaan lawan meranapkan impian mereka.

“Kami bermain untuk menang dan telah berusaha mencapainya tetapi mereka dapat menyamakan kedudukan.

“Kami hampir beberapa kali berupaya untuk mendapatkan jaringan namun tidak dapat melakukannya.

“Bagi perlawanan menentang Pakistan kami jangkakan saingan berlangsung lebih sengit,” katanya selepas tamat perlawanan hari ini.

Dalam perlawanan itu, Malaysia mempamer aksi seimbang biarpun Kanada terlebih dahulu memberikan tekanan.

Gol pertama perlawanan dijaringkan pemain Kanada, Scott Tupper pada minit ke-21 hasil pukulan sudut penalti sebelum Shahril Saabah me­nyamakan kedudukan minit ke-29 hasil pukulan sudut penalti.

Suku ketiga perlawanan menyaksikan skuad kebangsaan berjaya menambah jaringan untuk mendahului pada minit ke-31 hasil gol padang Nabil Fikri Mohd. Noor, namun penguasaan Malaysia tidak kekal lama apabila Kanada menyamakan kedudukan minit ke-45 melalui Matthew Guest.

Esok Malaysia akan menentang Pakistan, manakala Kanada bakal berhadapan lawan sukar iaitu Australia pada Jumaat ini.

– Utusan Malaysia

Leave a Reply

Top