You are here
Home > Latest News > Malaysia cerahkan peluang

Malaysia cerahkan peluang

Skuad hoki negara menghidupkan peluang untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik Piala Sultan Azlan Shah selepas menumpaskan Pakistan 1-0 di Stadium Azlan Shah, di sini, malam ini.

Keputusan tersebut membolehkan skuad Speedy Tigers mengumpul lapan mata selepas lima perlawanan dan kini harus mengekalkan kemenangan pada aksi terakhir liga sepusingan menentang India pada Jumaat ini andai mahu merealisasikan sasaran kelompok empat terbaik.

Dalam perlawanan tersebut, Malaysia beraksi dengan baik dan berjaya melakukan beberapa percubaan mendapatkan jaringan dalam kawasan D Pakistan, sebelum meraih gol awal minit keempat menerusi pukulan sudut penalti ketua pasukan, Muhammad Razie Abd. Rahim.

Keputusan kekal dengan jaringan tunggal tersebut biarpun pada suku keempat perlawanan menyaksikan Pakistan hampir melakukan beberapa percubaan mendapatkan jaringan dalam kawasan D Malaysia.

“Gol tunggal yang kami peroleh itu membuatkan perlawanan berlangsung penuh debaran.

“Biasanya kami berdepan masalah di penghujung perlawanan atau lima minit terakhir tetapi hari ini kami dapat mengatasinya dengan baik.

“Tiga mata kami raih ini amat penting buat pasukan dan saya memuji aksi keseluruhan pemain,” kata jurulatih Malaysia, Stephan Van Huizen.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan menyaksikan Australia yang telah mengesahkan tempat ke saingan akhir berjaya menewaskan Jepun 3-1.

Kemenangan tersebut mence­rahkan peluang pasukan No.1 dunia itu untuk beraksi dalam perlawanan akhir selaku pendahulu liga sepu­singan.

Australia kini mengumpul 15 mata selepas lima perlawanan berlangsung dan hanya berbaki satu perlawanan menentang Kanada pada Jumaat ini.

Mengikut format kejohanan dua pasukan terbaik saingan liga akan beraksi pada perlawanan akhir manakala selebihnya perlu bersaing dalam aksi klasifikasi.

www.utusan.com.my

Leave a Reply

Top