Malaysia terus mara tewaskan Pakistan

MALAYSIA meneruskan kemaraan dalam menentukan kedudukan carta apabila menang tipis 1-0 ke atas Pakistan pada perlawanan pusingan awal Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-25 di Stadium Azlan Shah, di Ipoh, malam tadi.

Jaringan ketua pasukan, Razie Rahim, menerusi pukulan sudut penalti seawal minit ketiga membantu skuad negara meraih kemenangan kedua selepas lima perlawanan.

Bermula dari awal permainan, serangan bertali arus kedua-dua pasukan nyata merancakkan perlawanan, namun Malaysia yang disokong lebih 5,000 penonton dilihat dapat mengawal permainan dengan baik.

Pujian juga harus diberikan kepada skuad negara kerana berjaya mematahkan setiap cubaan berbahaya Pakistan dan sekali gus mempertahankan kelebihan satu gol sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu pada sidang media, jurulatih negara, Stephen Van Huizen berkata beliau amat gembira dengan keputusan itu kerana anak buahnya berjaya mengutip tiga mata penuh yang amat penting buat ‘The Speedy Tigers’.

Katanya harapan Malaysia untuk layak ake final agak sukar dan beliau hanya menyasarkan untuk merebut kedudukan ketiga dan keempat.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan menentang India, Jumaat ini, beliau berharap anak buahnya dapat bermain dengan baik ketika menentang pasukan ranking ketujuh dunia itu.

Dengan kemenangan itu, Malaysia kini berada di kedudukan keempat carta dengan mengutip lapan mata selepas mengharungi lima perlawanan.

– Bernama

Leave a Reply