NZ, India congak peluang ke final

Juara bertahan, New Zealand melengkapkan jadual perlawanan dengan kejayaan 2-1 ke atas India dalam jubli Perak hoki Piala Sultan Azlan Shah 2016 di Stadium Azlan Shah, sebentar tadi.
Dengan kemenangan itu New Zealand menduduki tangga kedua carta tetapi pasukan The Black Sticks itu terpaksa menunggu keputusan perlawanan India menentang tuan rumah, Malaysia malam esok untuk mengetahui sama ada ia layak ke final pada hari Sabtu nanti.
New Zealand pastinya mendoakan Malaysia berjaya menumpaskan India atau sekurang-kurangnya mengikat lawannya itu.
Jika itu berlaku, maka New Zealand yang mengutip 11 mata akan mara. Sebaliknya jika India yang menang, mereka akan layak dengan maksimum 12 mata. Apapun dalam perlawanan petang ini persembahan kedua-dua pasukan jelas terjejas kerana beraksi di bawah cuaca panas terik.
New Zealand membuka jaringan melalui pukulan sudut penalti Kane Russell pada m-28 untuk juara bertahan itu mendahului 1-0 pada separuh pertama. India bagaimanapun memadam kelebihan itu melalui Mandeep Singh pada m-36 tetapi lima minit kemudian Nick Wilson memecah kebuntuan untuk New Zealand mengutip mata penuh.

www.bharian.com.my

Leave a Reply