Almarhum Sultan Azlan Shah terima anugerah khas FIH

Almarhum Sultan Azlan Shah menerima anugerah khas ‘The Members of Honor’ daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) atas sumbangan baginda dalam sukan hoki sehingga ke peringkat antarabangsa.
Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Presiden FIH, Lenardo Negre kepada anakanda Almarhum, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, pada majlis jamuan malam ulang tahun ke-25 Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di sini, malam ini.
Negre, dalam ucapan ringkasnya, berkata anugerah berprestij itu adalah untuk mengiktiraf dan memperingati sumbangan cemerlang baginda dalam memajukan sukan hoki di peringkat kebangsaan, benua dan antarabangsa.
Baginda, yang mangkat pada 28 Mei 2014, melakukan sumbangan dengan penuh dedikasi selama lebih empat dekad dengan memegang jawatan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia, Presiden Persekutuan Hoki Asia dan Naib Presiden FIH. Majlis itu turut dihadiri Presiden Persekutuan Hoki Asia, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-25 tahun ini disertai oleh tujuh negara iaitu juara dunia, Australia; juara bertahan, New Zealand, Pakistan, India, Kanada, Jepun dan tuan rumah, Malaysia. Kejohanan tahunan selama 10 hari itu akan melabuhkan tirainya, Sabtu ini.
– BERNAMA

Leave a Reply