Australia buru trofi ke-9

AUSTRALIA berpeluang untuk merangkul trofi Piala Sultan Azlan Shah buat kali ke-9 selepas mudah menewaskan Kanada 3-0 pada aksi keenam di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh semalam.

Kemenangan itu membolehkan skuad Kookaburras memungut 18 mata, sekali gus mengekalkan rekod bersih selepas memenangi semua perlawanan dalam format liga sepusingan sebelum berentap pada perlawanan akhir esok.

Menurut ketua jurulatihnya, Graham Reid, dia memuji usaha yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya namun enggan mendabik dada kerana misi utama adalah menggapai pingat emas pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos depan.

“Saya gembira dengan kemenangan ini kerana perancangan dari segi taktikal membawa kesan positif, khususnya di bahagian pertahanan selain barisan serangan yang sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi.

“Namun, saya akui bahawa kami berpeluang pulang trofi ini ke bumi Australia, sekali gus menaikkan moral pasukan yang dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik di Brazil nanti,” kata Reid ketika ditemui sejurus selepas tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan tersebut, pasukan No. 1 dunia itu tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pembukaan menerusi kapten, Mark Knowles yang berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-16.

Bersambung pada suku ketiga, dua jaringan dalam tempoh tiga minit terus menambah derita pasukan lawan yang menduduki ranking ke-14 dunia itu selepas Blake Govers menambah jaringan pada minit ke-33 diikuti Flynn Ogilvie (m-36) untuk menjadikan kedudukan 3-0 yang kekal sehingga tamat perlawanan.

Sebagai rekod, kali terakhir Australia memenangi trofi berprestij itu ialah pada tahun 2014 selain turut mara ke perlawanan akhir pada edisi lalu sebelum dikecewakan oleh musuh tradisi, New Zealand.

– KOSMO

Leave a Reply