Australia Uji Pemain Simpanan Sebelum Benam Jepun 3-1

Juara dunia, Australia sekadar memanaskan badan apabila mengalahkan Jepun 3-1 pada saingan pusingan awal Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-25 di Stadium Azlan Shah, di sini, hari ini.

Selepas mengesahkan tempat ke final semalam, Australia merehatkan beberapa pemain utama serta menguji pemain simpanan untuk mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan.

Australia akan melengkapkan jadual pusingan awal dengan menentang Kanada, Jumaat ini.

Dianggap pasukan pilihan untuk merangkul gelaran buat kali kesembilan, Australia agak terkejut apabila Jepun menampilkan rentak perlawanan bercorak defensif dengan hampir kesemua pemain berkubu di pintu gawang.

Bagaimanapun, Australia cuba membuka ruang dengan melakukan hantaran jauh dan gerakan pantas barisan depan untuk membolosi bentang pertahanan Jepun.

Berikutan asakan bertali arus, Australia berjaya memperoleh gol pembukaan menerusi penyerang utamanya, Jamie Dwyer pada minit ke-17, disusuli Blake Glover pada minit ke-30.

Enam minit kemudian, Australia memperkukuhkana kedudukan apabila Dwyer sekali lagi mencatatkan nama dalam senarai penjaring sebelum Jepun menghasilkan gol sagu hati menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Kentaro Fukuda pada minit ke-37.

Kekalahan Jepun kepada skuad ‘Kookaburras’ itu meletakkan pasukan bimbingan Takahiko Yamabori terus berada di tangga tercorot carta tanpa sebarang kutipan mata.

Sementara itu, juara bertahan, New Zealand menghidupkan peluang tipis ke final apabila melengkapkan jadual pusingan awal dengan mengalahkan India 2-1.

Kemenangan itu membolehkan ‘The Black Sticks’ menduduki tangga kedua dengan 11 mata manakala India akan menguburkan impian New Zealand ke final sekiranya mengalahkan Malaysia pada perlawanan terakhir pusingan awal, Jumaat ini.

New Zealand membuka tirai jaringan menerusi Kane Russell pada minit ke-28 sebelum India menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mandeep Singh pada minit ke-36.

Nick Wilson menjadi wira pasukan New Zealand menerusi jaringan pada minit ke-41.

India, selaku pasukan ranking ketujuh dunia, kini berada di tangga ketiga dengan sembilan mata selepas lima perlawanan.

Esok ada hari rehat sebelum kejohanan disambung semula Jumaat ini.

— BERNAMA

Leave a Reply