Malaysia jadi lauk

Malaysia bagaikan tiada jawapan dalam menyekat amukan India apabila dibelasah 1-6 pada perlawanan terakhir saingan liga sepusingan kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah malam tadi.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara menduduki tangga keempat liga sekali gus bakal membuat perhitungan dengan New Zealand untuk penentuan tempat ke-3/4, hari ini.

Kemenangan India itu juga menyaksikan pasukan yang sudah layak ke Sukan Olimpik Rio itu akan beraksi pada pentas final menentang Australia, malam ini.

Ketua jurulatih skuad negara Stephen Van Huizen berkata, dua gol pantas India pada awal permainan nyata menjejaskan fokus pemain negara.

“Kami sememangnya mahu beraksi pada tahap terbaik tapi saya kecewa apabila pemain melepaskan dua gol pantas itu.

“Bermula daripada dua gol itu, ia terus meningkatkan semangat India untuk menjaringkan lebih banyak gol. Apapun saya rasa India memang berhak menang untuk melangkah ke final.

“Bagi kami pula, saya mahu setiap pemain memberikan segala-galanya apabila bertemu New Zealand esok (hari ini),” katanya.

India bermula baik apabila di depan seawal minit ke-3 selepas Chandanda Thimmaiah menampan masuk hantaran Sunil Sowmarpet.

Belum sempat Malaysia meredakan keadaan, India sekali lagi menambah gol kedua menerusi jaringan padang Harjeet Singh minit ke-7.

Skuad negara memperoleh pukulan sudut penalti pertama pada minit ke-22 tetapi peluang itu disia-siakan begitu saja.

Ramandeep Singh menambah tekanan kepada skuad negara apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-25 sebelum dua minit selepas itu, giliran Danish Mujtaba menjaringkan gol keempat, juga menerusi pukulan sudut penalti.

Minit ke-39 menyaksikan Malaysia terus ketinggalan 0-5 selepas India menambah gol hasil jaringan padang Ramandeep sekali gus gol kedua peribadinya.

Malaysia akhirnya memperoleh gol sagu hati selepas penyerang negara Shahril Saabah menampan hantaran jauh kapten pasukan Muhammad Razie Abdul Rahim minit ke-46.

Talwinder Singh bagaimanapun terus mengukuhkan kedudukan India dengan menambah gol keenam menerusi jaringan padang minit ke-50.

– Harian Metro

Leave a Reply