Skuad Malaysia Gagal Saingi India, Dibelasah 1-6

Skuad negara gagal menyaingi kehebatan India apabila dibelasah 1-6 pada perlawanan terakhir pusingan awal Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-25 di Stadium Azlan Shah, di sini, malam ini.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan India akan berdepan Australia pada aksi final malam esok, manakala Malaysia bertemu juara bertahan, New Zealand bagi penentuan tempat ketiga dan keempat.

Rentak longlai pasukan negara tidak mudah untuk ditafsirkan sebaik wisel perlawanan dimulakan malam ini, apabila India berjaya membolosi gawang Malaysia seawal minit ketiga menerusi gol padang Chandanda Thimmaiah.

Pasukan bimbingan Roelant Oltmans itu terus mengasak dan memberi tekanan kepada pemain Malaysia dengan menggandakan jaringan pada minit ketujuh, juga melalui gol padang oleh Harjeet Singh.

Jaringan itu ternyata memberi semangat kepada pemain India yang langsung tidak memberi peluang kepada pemain negara menembusi gawang mereka walaupun dihadiahkan pukulan sudut penalti.

Kealpaan benteng pertahanan ‘The Speedy Tigers’ terus dihukum apabila Ramandeep Singh menjaringkan gol ketiga India melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-25 dan Danish Mujtaba pada minit ke-27.

Bersambung babak kedua, pemain Malaysia terus menampilkan aksi mengecewakan di hadapan lebih 5,000 penyokong apabila sering melakukan kesilapan mudah terutama dari segi hantaran bola.

Sebaliknya, semangat pemain India terus membara apabila menyumbat masuk gol kelima pada minit ke-39 melalui gol padang Ramandeep.

Hanya pada minit ke-46, Malaysia berjaya memperoleh gol sagu hati menerusi Shahril Saabah selepas menerima lorongan cantik daripada Razie Rahim.

Jaringan itu, bagaimanapun tidak sedikit pun mematahkan semangat India apabila terus menambah duka skuad kebangsaan dengan gol keenam menerusi Talwinder Singh pada minit ke-50.

Bercakap kepada media selepas perlawanan, ketua jurulatih negara Stephen Van Huizen berkata beliau kecewa dengan keputusan perlawanan itu, terutama kerana membenarkan pasukan lawan memperoleh dua gol awal.

“Kita berusaha untuk menampilkan permainan yang baik, namun pasukan lawan (India) bermain secara agresif dan kita gagal menyaingi rentak permainan mereka,” katanya.

Van Huizen turut menyangkal dakwaan bahawa pemain negara kepenatan sehingga membenarkan pemain India berpesta gol.

“Pemain negara sebenarnya bersedia menempuh setiap perlawanan pada kejohanan ini,” katanya.

Sementara itu, pada perlawanan petang tadi, Pakistan menewaskan Jepun 4-1, manakala Australia mengekalkan rekod tanpa kalah apabila membenam Kanada 3-0.

— BERNAMA

Leave a Reply