Piala Sultan Azlan Shah dapat tajaan RM1.9 juta

PENGANJURAN Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah tahun ini, mendapat penajaan tertinggi sebanyak RM1.9 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Piala Sultan Azlan Shah, Datuk Abd Rahim Mohd Ariff berkata syarikat perkhidmatan TV satelit Astro menyumbang penajaan terbanyak membabitkan RM350, 000.

“Kita ada 14 penaja pada tahun ini terdiri daripada syarikat swasta, kerajaan negeri dan orang persendirian yang turut menyumbang.

“Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) turut menjadi antara penyumbang terbesar iaitu RM300, 000,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek penajaan sempena kejohanan itu yang disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Abd Rahim berkata, bersempena edisi ke-26 kejohanan tersebut kali ini, beliau turut menaruh harapan tinggi kepada pasukan negara untuk menjuarai piala tersebut kali ini, walaupun mengakui saingan pada tahun ini sengit.

“Kejohanan tahun ini juga menjadi tumpuan semua pasukan sebagai persediaan ke Liga Hoki Dunia di London malah negara kita sendiri tidak pernah menjulang Piala Sultan Azlan Shah,” kata Abd Rahim.

Sebanyak enam pasukan akan menyertai kejohanan itu yang akan berlangsung di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh dari 29 April hingga 6 Mei depan.

Pasukan tersebut adalah Malaysia, Australia, New Zealand, Jepun dan Great Britain.

Untuk rekod, pasukan negara muncul naib juara sebanyak lima kali pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014.

Australia muncul pasukan yang meraih kejuaraan terbanyak, iaitu sembilan kali.

Sementara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal ketika ditemui berkata, kejohanan itu amat penting sebagai medan untuk menguji pemain negara.

“Pertandingan ini amat penting untuk Malaysia kerana ia akan menjadi persiapan untuk Kejohanan Liga Dunia dan Piala Dunia.

“Pasukan negara juga akan mengadakan perlawanan pemanas badan dengan New Zealand yang dijadual pada 23 dan 24 April ini di Kuala Lumpur,” katanya.

– SINAR HARIAN

 

Leave a Reply