RM1.9j taja Piala Sultan Azlan Shah

Kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-26 mendapat tajaan RM1.9 juta.

Pengerusi Pengelola kejohanan, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, pihaknya menerima tajaan daripada 14 penaja membabitkan agensi kerajaan, korporat dan individu.

Menurutnya, jumlah sumbangan kali ini berkurangan berbanding RM2.1 juta tahun lalu tetapi yakin mencukupi untuk menampung penganjuran kejohanan yang berlangsung di Stadium Azlan Shah, bermula 29 April ini.

“Tahun lalu kami menyambut jubli emas dan mengadakan kejohanan secara lebih besar dan meriah dengan disertai tujuh pasukan.

“Tapi kali ini kami hanya menjemput enam pasukan, jadi jumlah tajaan sebanyak itu sudah mencukupi,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam.

Turut hadir Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Datuk Seri Subahan Kamal.

Abd Rahim berkata, Astro menjadi penyumbang terbanyak dengan RM350,000.

“PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) pula menyumbang RM300,000,” katanya.

Enam pasukan kali ini membabitkan juara sembilan kali, Australia, New Zealand, India, Great Britain, Jepun dan Malaysia.

Rahim yakin kemeriahan kejohanan tidak terjejas walaupun jumlah pasukan berkurangan.

“Kejohanan tahun ini juga menjadi tumpuan pasukan terbabit sebagai persediaan mereka ke Liga Hoki Dunia di London nanti.

– HARIAN METRO

Leave a Reply