Aiman ledak hatrik belasah New Zealand

Skuad hoki negara melaungkan amaran awal menjelang Piala Sultan Azlan Shah apabila membelasah New Zealand 8-2 dalam aksi persahabatan di Stadium Hoki Tun Razak sebentar tadi.
Aiman Nik Rosemi tampil pemain terbaik negara apabila menyumbangkan tiga gol dalam kemenangan yang menjadi penyuntik semangat menjelang kejohanan yang akan bermula Khamis ini.
Pada perlawanan pemanas badan itu, Malaysian Tigers mendahului awal menerusi gol minit ketiga Aiman disusuli jaringan Razie Rahim tiga minit kemudian.
George Muir kembali merapatkan kedudukan menerusi gol padang pada minit ketujuh, tetapi skuad negara kembali menjarakkan kedudukan pada suku kedua menerusi Ramadan Rosli (m-28) dan penyudah sempurna Faizal Saari dari pukulan sudut penalti (m-29).
Anak buah Stephen van Huizen terus garang dan kali ini giliran Haziq Samsul merakam nama selaku penjaring pada minit ke-37 sebelum Aiman mencetak gol kedua peribadi pada perlawanan ini (m-43) diikuti Najmi Jazla yang tenang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-45.
Bersambung suku keempat, New Zealand meraih gol kedua dan kali ini menerusi jaringan Dominic Newman, namun Aiman sekali lagi membuktikan ketajaman apabila melengkapkan hatrik pada minit ke-49.

– Berita Harian

Leave a Reply