Van Huizen pilih Syed Mohd Syafiq

Syed Mohd Syafiq Syed Cholan mendapat kepercayaan jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen yang menyenaraikan pemain muda versatil itu bagi menghadapi saingan Piala Sultan Azlan Shah Ke-26 di Ipoh, Perak, bermula Sabtu ini.
Apa yang menariknya, ia akan menjadi penampilan sulungnya dalam skuad kebangsaan pada kejohanan kompetitif dan bertambah manis ia hadir di negeri kelahirannya – Perak selepas beberapa kali diketepikan sejak diserap ke skuad Malaysia Tigers setahun lalu.
Pemain yang boleh beraksi di posisi pertahanan dan tengah itu diberi pendedahan untuk menyesuaikan diri dan menimba pengalaman ketika Van Huizen sedang mempersiapkan kelompok pemain lebih besar untuk menghadapi Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, Jun ini.
“Satu-satunya pemain baharu dalam skuad ini adalah Syed Syafiq yang kita senaraikan untuk mengutip pengalaman dalam usaha mematangkan corak permainannya,” kata Van Huizen.
“Dia harus menggunakan kejohanan ini untuk membuktikan betapa dia sudah cukup bersedia beraksi di pentas besar jika berhasrat untuk ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.
“Bagi pemain yang diketepikan, bukan bermakna mereka tidak cukup bagus tetapi lebih kepada tindakan saya untuk mencuba semua pemain yang tidak beraksi di Dhaka Mac lalu,” katanya ketika ditemui sebelum bertolak bersama barisan 18 pemain negara ke Ipoh, sebentar tadi.
Tiga penyerang – Faizal Saari, Firhan Ashari dan Haziq Samsul serta penjaga gol berpengalaman S Kumar yang tidak beraksi pada Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL2) di Dhaka, turut disenaraikan.
Dengan penyenaraian lima pemain ini menyaksikan pengendali berusia 58 tahun itu terpaksa menggugurkan penyerang, Rashid Baharom serta Ramadan Rosli, Hairi Othman (penjaga gol), Izad Hakimi Jamaluddin (pertahanan) dan Joel Van Huizen (tengah).
– Berita Harian

Leave a Reply