You are here
Home > Media News > Skuad hoki negara belum panik

Skuad hoki negara belum panik

KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen menegaskan, Malaysian Tigers belum masa menekan butang panik walaupun terpaksa melupakan khidmat penjaga gol No. 1, S. Kumar ketika menghadapi Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) di Ipoh, Perak awal bulan depan.

Kumar, 39, masih menanti tarikh untuk melakukan proses pendengaran dengan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) agar dapat meringankan hukumannya selepas didapati positif doping menggunakan bahan terlarang jenis sibutramine.

Ketiadaan Kumar menyaksikan Malaysian Tigers berdepan tugas sukar pada kempen PSAS memandangkan mereka adalah pasukan di ranking paling rendah, No. 12 dunia dan bakal berdepan lima gergasi dunia bermula 3 hingga 10 Mac depan.

Bagaimanapun, Van Huizen yakin dua lagi penjaga golnya, Mohammad Hairi Abd. Rahman dan Muhammad Hafizuddin Othman mampu menggalas tanggungjawab tersebut dengan baik pada aksi di Stadium Hoki Azlan Shah nanti.

“Kami sangat jelas dengan situasi sekarang iaitu tidak dapat menggunakan Kumar tetapi ia bukan masa untuk menekan butang panik kerana masih ada lagi dua penjaga gol (Hairi dan Hafizuddin).

“Kami yakin dengan kemampuan dipamerkan dua penjaga gol ini selepas mereka beraksi cemerlang sepanjang saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) baru-baru ini,” katanya pada sidang akhbar di Astro Arena, Petaling Jaya, Selangor semalam.

Turut bertanding pada kejohanan yang memasuki edisi ke-27 itu adalah pasukan di ranking No. 1 dunia iaitu Australia, Argentina (No. 2), India (No. 6), England (No. 7) dan Ireland (No. 10).

Van Huizen mendedahkan, beliau akan menyenaraikan barisan 18 pemain terbaik bagi menghadapi saingan PSAS selepas mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Argentina di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Februari ini.

Sebagai rekod, skuad negara belum pernah merasai kejayaan menjuarai kejohanan itu sejak kali pertama ia dipertan­dingkan di Kuala Lumpur pada 1983.

Pencapaian terbaik Malaysian Tigers adalah muncul naib juara sebanyak lima kali pada edisi 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014, manakala sekadar mencatatkan kedudukan kelima dalam saingan tahun lalu.

– Kosmo

Leave a Reply

Top