Stephen Tidak Terburu-buru Gantikan Kumar, Tunggu Keputusan FIH

Ketua jurulatih pasukan hoki lelaki negara, Stephen Van Huizen tidak mahu terburu-buru membuat keputusan menggantikan penjaga gol S. Kumar dalam skuad Program Podium, menjelang beberapa kejohanan utama tahun ini.

Berikutan Kumar, yang digantung buat sementara selepas didapati positif doping semasa Piala Asia pada Oktober lepas masih menunggu sesi pendengaran, Stephen belum mahu menekan butang panik, sebaliknya tindakan bakal diambil berdasarkan keputusan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

“Saya difahamkan FIH mungkin adakan perbicaraan pada hujung bulan ini atau Mac. Sebaik sahaja kita mendapat keputusan, baru kita lebih jelas. Maksud saya menyenaraikan pemain lain dalam program itu dan menggugurkan beliau apabila Kumar kembali dalam pasukan bukan pilihan yang baik.

“Kumar mungkin hanya dikenakan penggantungan minima. Kita tidak terburu-buru kerana kita ada Hafizuddin Othman dan Hairi Abdul Rahman, serta Muhamad Zaimi Mat Deris yang beraksi pada Piala Dunia Remaja (2016) dalam skuad,” katanya ketika sidang media di sini hari ini, bagi mengumumkan Astro Arena sebagai penyiar rasmi Piala Sultan Azlan Shah (SASC) dari 3 hingga 10 Mac di Ipoh, Perak.

Penjaga gol utama negara berusia 37 tahun itu didapati positif menggunakan sibutramine, iaitu bahan yang digunakan untuk mengurangkan berat badan, semasa Piala Asia 2017 di Dhaka, Bangladesh.

Sementara itu, jurulatih berusia 58 tahun itu berkata skuad negara untuk edisi ke-27 SASC, akan dinamakan selepas dua aksi persahabatan berdepan pasukan nombor dua dunia, Argentina pada 27 dan 28 Feb, dengan hanya rombakan kecil dilakukan terhadap skuad yang muncul naib juara Piala Asia 2017 itu.

“SASC, kejohanan pertama kita tahun ini, peluang terbaik melihat kedudukan dan kemampuan kita (skuad) dan pemain berdepan pasukan terbaik dunia seperti pasukan nombor satu dunia, Australia, Argentina dan pasukan terbaik Asia, India selain Ireland dan England yang berada di ranking atas daripada kita. Beberapa pasukan ini, kita akan bertemu pada Sukan Komanwel, dengan England dan India dalam kumpulan kita.

“Pada masa ini, hanya dua pemain mengalami kecederaan, Mohd Izzat Hakimi Jamaluddin dan Faiz Helmi Jali. SASC adalah peluang bagi kita menguji beberapa pemain yang belum pernah beraksi di pentas antarabangsa dan kita perlu memberi pendedahan kepada mereka,” katanya.

Stephen seterusnya melahirkan keyakinan skuad negara mampu menggalas tanggungjawab menghadapi beberapa kejohanan utama tahun ini, iaitu Sukan Komanwel Gold Coast dari 4-15 April, Sukan Asia Jakarta dan Palembang (18 Ogos-2 Sept) dan Piala Dunia di India (28 Nov-16 Dis).

— BERNAMA

Leave a Reply