You are here
Home > Media News > Medan menguji dua penjaga gol pelapis negara

Medan menguji dua penjaga gol pelapis negara

Dua penjaga gol skuad hoki negara, Muhammad Hafizuddin Othman dan Mohd. Hairi Abd. Rahman akan mendapat peluang sama rata sepanjang saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) yang akan berlangsung di Stadium Hoki Azlan Shah bermula esok hingga 10 Mac ini.

Perkara itu diakui ketua jurulatih Malaysian Tigers, Stephen Van Huizen yang bagaimanapun enggan memberi bayangan sama ada Hafizuddin atau Hairi akan diturunkan sebagai penjaga gol utama menjelang perlawanan pembukaan skuad negara dalam kempen PSAS menentang Ireland malam esok.

“Kedua-dua penjaga gol akan diberikan peluang bermain yang sama kerana saya termasuk barisan kejurulatihan lain yakin dengan kemampuan mereka berdua.

“Jika mereka ada melakukan kesilapan dalam perlawanan, dari situ barulah mereka akan belajar untuk memperbaiki setiap kelemahan itu,” katanya sewaktu sidang akhbar pengurus-pengurus pasukan di Hotel Impiana di sini petang tadi.

Skuad negara yang menduduki ranking ke-12 dunia tidak dapat menyenaraikan S. Kumar kerana penjaga gol No. 1 itu masih lagi digantung selepas didapati positif ujian doping mengambil bahan terlarang jenis sibutramine tahun lepas.

Malah, keputusan hukumannya masih belum diputuskan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) membuatkan kem negara tiada pilihan selain menyenaraikan Hafizuddin, 26, dan Hairi, 28, sekali gus memberi peluang buat dua penjaga gol itu membuktikan keupayaan sebenar mereka.

Sebagai rekod, Ireland yang menghuni tangga ke-10 dunia, menang 4-1 ke atas skuad negara ketika pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan pada saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2015 di Antwerp, Belgium.

Selain Ireland, turut mengambil bahagian pada saingan PSAS ini ialah gergasi No. 1 dunia, Australia, Argentina (2), India (6) dan England (7). –

– K! ONLINE

Leave a Reply

Top