Stephen tak mahu kecewa lagi

Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen tidak mahu kisah pahit tewas kepada Ireland berulang apabila bertemu lawan itu pada aksi pertama Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak esok.

Pengendali berusia 60 tahun itu masih mengingati bagaimana kecewanya skuad negara selepas tewas kepada Ireland pada perlawanan penentuan tempat ke-5/6 di Separuh Akhir Liga Hoki Dunia 2015di Antwerp, Belgium yang sekali gus menyaksikan Malaysia gagal layak beraksi ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Itu pertemuan terakhir Malaysia dengan Ireland dan selepas tiga tahun, Stephen berpendapat lawan yang bakal ditemui itu semakin mempamerkan peningkatan.

“Kita menewaskan mereka pada perlawanan peringkat kumpulan (4-2) tapi kemudian kalah pada perlawanan penentuan tempat ke-5/6.

“Berikutan kekalahan itu, Malaysia terlepas beraksi di Sukan Olimpik.

“Sejak daripada itu, Ireland semakin menunjukkan peningkatan. Malah kedudukan ranking mereka juga semakin meningkat dengan menduduki tangga ke-10 dunia kerana beraksi di Olimpik.

“Mereka juga meraih gangsa di Kejohanan Eropah yang disertai pasukan bertaraf dunia lain dari Eropah,” katanya.

Tegas Stephen, Malaysian Tigers menghormati peningkatan ketara dipamerkan Ireland sejak kebelakangan ini, namun beliau juga tidak mahu barisan pemainnya terlalu memikirkan rekod cemerlang lawan mereka itu.

“Saya rasa seperti kami, mereka juga sedang membentuk pasukan dengan mencuba beberapa pemain baru.

“Harap kami dapat mempelajari sesuatu pada perlawanan itu nanti dan yang paling penting adalah meraih keputusan yang bagus,” katanya.

– BH ONLINE

Leave a Reply