Peillat ‘bedal’ England

GONZALO Peillat tidak perlu menunggu lama untuk meledak hatrik dalam penampilan sulungnya di Piala Sultan Azlan Shah apabila membantu pemenang Olimpik 2016, Argentina menundukkan India 3-2 dalam aksi pembukaan di Stadium Hoki Azlan Shah, sebentar tadi.

Bagaimanapun, aksi itu sedikit terjejas akibat hujan lebat pada suku keempat sehingga terpaksa dihentikan selama 45 minit.

Dalam pertarungan yang menyaksikan kelima-lima gol hadir menerusi percubaan pukulan sudut penalti itu, India dinafikan kemenangan kerana faktor cetek pengalaman selepas mendominasi permainan di awal perlawanan.

Malah, pasukan pasukan nombor satu Asia itu juga dikejutkan dengan gol awal Peillat seawal minit ke-14 sebelum dia sekali lagi tidak menghadapi masalah menambah gol kedua (m-24) menerusi percubaan pukulan sudut penalti kelima Argentina.

Turun tanpa enam tonggak pada edisi ke-27 ini, India bagaimanapun bangkit daripada ketinggalan 0-2 untuk kembali mengikat aksi menerusi dua gol pukulan sudut penalti Amit Rohidas pada minit ke-24 dan 32.

Namun, Peillat yang masih segar dengan kejayaan muncul penjaring terbanyak Liga Hoki Malaysia 2018 mencuri semula kelebihan daripada India selang seminit kemudian.

Sekalipun skuad kendalian Sjoerd Marijne tumpas, namun wajar mendapat pujian selepas berupaya memberi tentangan sengit termasuk terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada lima minit terakhir kerana layangan kad kuning ke atas Sumit.

India seterusnya akan berdepan juara bertahan England, esok sementara Argentina yang juga pilihan kedua kejohanan akan bertemu Ireland dalam satu lagi aksi esok.

Untuk rekod, India yang dalam persiapan menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast bulan depan tidak membawa pemain utama seperti Akashdeep Singh, SV Sunil, Mandeep Singh, Manpreet Singh dan penjaga gol PR Sreejesh untuk edisi kali ini.

Pakar flick Rupinder Pal Singh dan Harmanpreet Singh turut direhatkan untuk kejohanan kali ini sebagai langkah memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain muda mereka.

-MyMetro

Leave a Reply