Malaysia tewas 1-3 di tangan Australia

MALAYSIA terpaksa akur dengan kehebatan Australia apabila tewas 1-3 kepada pasukan terbaik dunia itu pada aksi kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-27 di Stadium Azlan Shah di sini malam ini.

Kekalahan itu menyaksikan skuad negara berada di kedudukan ketiga carta dengan tiga mata hasil kemenangan ke atas Ireland semalam, di belakang Australia dan Argentina, masing-masing mengumpul enam mata penuh selepas dua perlawanan.

Australia bermula garang apabila hanya mengambil masa 10 minit untuk menyumbat gol pertama menerusi Corey Weyer selepas dihadiahkan pukulan sudut penalti.

Tersentak dengan gol itu, pasukan kebangsaan cuba menyamakan kedudukan namun setiap percubaan dinafikan benteng pertahanan Australia.

Pada minit ke-29, Dylan Wotherspoon menjarakkan kedudukan apabila ​​​​​menjaringkan gol kedua skuad Kookaburras menerusi gol padang.

Pada minit ke-33, peluang Malaysia merapatkan kedudukan dinafikan selepas jaringan Razie Rahim dibatalkan pengadil perlawanan.

Aaron Kleisnhmidt menambah duka skuad Malaysian Tigers dengan menjaringkan gol ketiga pasukannya pada minit ke-43 menerusi gol padang.

Lima belas minit sebelum perlawanan tamat, pasukan negara dilihat melipatgandakan asakan yang akhirnya berjaya mendapat satu gol menerusi Marhan Jalil daripada gol padang.

Malaysia dijadual berdepan Argentina pada perlawanan seterusnya, Selasa ini (6 Mac).

– Bernama

Leave a Reply