Australia ke final kali ke-14

Australia muncul pasukan pertama layak ke perlawanan akhir kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah Ke-27 yang sedang berlangsung di Ipoh.

Juara dunia itu menundukkan Ireland 4-1 sebentar tadi untuk mengesahkan kemaraan ke final kali ke-14 kejohanan jemputan berprestij itu, Sabtu ini.

Kejayaan itu adalah yang keempat buat skuad bimbingan Colin Batch sebelum turun menentang juara Olimpik Rio, Argentina, dalam perlawanan terakhir pusingan awal Jumaat ini.

Sementara bagi Ireland ia kekalahan kali keempat sekali gus menyaksikan pasukan ranking ke-10 dunia itu menjadi mangsa belasahan pasukan lain setakat ini.

Pada perlawanan berkenaan, Australia membuka jaringan pada minit ke-11 menerusi Eddie Ockenden disusuli jaringan Daniel Beale tiga minit kemudian.

Blake Govers menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-21 untuk mengukuhkan kedudukan Kookaburras sebelum rehat.

Ireland berusaha untuk menyaingi juara sembilan kali itu sebaliknya Jake Harvie melengkapkan penguasaan Australia dengan gol keempat pada minit ke-50 sebelum Shane O’Donoghue mencuri satu gol sagu hati untuk Ireland tujuh minit kemudian.

– Berita Harian

Leave a Reply