England rosak parti Argentina

England meranapkan hasrat Argentina untuk mengutip mata penuh dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah apabila mengikat juara Olimpik Rio 2016 itu, 1-1 sebentar tadi.

Jaringan David Condon hasil pukulan sudut penalti, empat minit sebelum tamat menyelamatkan England sekaligus membuka peluang buat pasukan ‘The Three Lions’ mengintai tempat ke final, Sabtu ini, jika menang perlawanan terakhirnya ke atas Malaysia.

Ironinya jaringan penyamaan adalah melalui pukulan sudut penalti tunggal yang dimiliki England pada perlawanan itu.

Argentina mendahului pada minit ke-40, hasil jaringan Juan Gilardi dan tampak seakan-akan mampu melupakan detik hitam apabila tumpas 1-2 kepada Malaysia, semalam.

Namun, mereka berterusan ditimpa malang apabila gagal menyempurnakan lima pukulan sudut penalti sepanjang perlawanan.

Malah skuad bimbingan Rolando Rivero itu nyaris tumpas jika tidak disebabkan ketangkasan penjaga golnya, Juan Vivaldi yang dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan’.

Manakala pakar pukulan sudut penalti, Gonzalo Peillat seperti hilang taring apabila pukulannya berjaya diselamatkan.

“Memang merunsingkan keadaan yang menimpa kami dalam dua perlawanan ini. Sudah tentu kami perlu cari penyelesaian jika ingin mempunyai peluang ke final.

“Apa yang pasti kami mempunyai tugas berat kerana akan bertemu Australia. Apapun kami akan tetap mencuba,” katanya

 

– Berita Harian

Leave a Reply